Wednesday, 5 June 2013

RAHSIA DHUHA

Allah Subhanahu Wa Tala dalam beberapa ayat bersumpah dengan waktu Dhuha. Dalam pembukaan surah As-Syams, Allah berfirman, “Demi matahari dan demi waktu Dhuha." Bahkan, ada surat khas di al-Quran dengan nama “Ad-Dhuha”.

Pada pembukaannya, Allah berfirman, “Demi waktu Dhuha.”
Imam Arrazi menerangkan bahawa Allah Subhanahu Wa Taala setiap bersumpah dengan sesuatu, menunjukkan hal yang agung dan besar manfaatnya.
Apabila Allah bersumpah dengan waktu Dhuha, bererti waktu Dhuha adalah waktu yang sangat penting. Benar, waktu Dhuha adalah waktu yang sangat penting. Di antara doa Rasulullah Salallahu Alaihi Wasallam: “Allahumma baarik ummatii fii bukuurihaa.” Yang ertinya, “Ya Allah berilah keberkatan kepada umatku pada waktu pagi.”
Hal ini menunjukkan bahawa orang-orang yang aktif dan bangun pada waktu pagi (waktu Subuh dan Dhuha) untuk beribadat kepada Allah dan mencari nafkah yang halal, dia akan mendapat keberkatan.
Sebaliknya, mereka yang terlena dalam mimpi-mimpi dan tidak sempat solat Subuh pada waktunya tidak mendapat keberkatan itu.
Abu Zar meriwayatkan dalam sebuah hadis, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda, “Bagi tiap-tiap ruas anggota tubuh kamu hendaklah dikeluarkan sedekah baginya setiap pagi. Sekali membaca tasbih (Subhanallah) adalah sedekah, sekali membaca tahmid (Alhamdulillah) adalah sedekah, sekali membaca takbir (Allahu Akbar) adalah sedekah, menyuruh berbuat baik adalah sedekah, dan mencegah kemungkaran adalah sedekah. Dan, semua itu boleh diganti dengan dua rakaat solat Dhuha.”
(HR Muslim)
Aisyah menceritakan bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam selalu melaksanakan solat Dhuha empat rakaat.
Dalam riwayat Ummu Hani, “Kadang-kadang Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam melaksanakan solat Dhuha hingg lapan rakaat.”
(HR Muslim).
Imam At Tirmidzi dan Imam Atthabrani meriwayatkan sebuah hadis yang menjelaskan bahawa apabila seseorang melaksanakan Solat Subuh berjemaah di masjid, lalu ia berdiam di tempat solatnya sehingga tiba waktu Dhuha, kemudian ia melaksanakan solat Dhuha, ia akan mendapatkan pahala seperti naik haji dan umrah.
Para ulama hadis bersepakat menyatakan bahawa hadis ini kedudukannya hasan.
Jelaslah bahawa solat Dhuha sangat penting bagi orang beriman. Penting bukan kerana seperti yang banyak dipersepsikan bahawa solat Dhuha ada hubungannya dengan mencari rezeki, tetapi ia penting kerana sumpah Allah Subhanahu Wa Taala dalam al-Quran.


Maka, sungguh bahagialah orang-orang beriman yang memulakan waktu paginya dengan solat Subuh berjemaah di masjid, lalu dilanjutkan dengan solat Dhuha.

Ayuhlah bersama kita laksanakan agar kita memperoleh keberkatannya, insya-Allah.


No comments:

Post a Comment